JOHOR BAHRU, 12 Julai – Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 semalam sekali gus membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar.
Kemenangan itu menyaksikan BN menambah lapan kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada 2022 sekali gus kali gus menguasai majoriti dua pertiga DUN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan keputusan lengkap pada kira-kira 1 pagi tadi, dengan yang terakhir diperoleh ialah DUN Puteri Wangsa sekali gus menyaksikan PH menang di lapan kerusi.
Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Sosialis Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) pula gagal memenangi sebarang kerusi manakala enam calon Bebas yang bertanding turut berdepan nasib serupa.
Bercakap kepada media di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan kemenangan itu sebagai mandat besar yang diberikan oleh rakyat untuk gabungan tersebut terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan pelbagai isu demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Beliau berkata kemenangan itu adalah satu amanah besar yang diterima dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.
Kemenangan BN itu turut menyaksikan MIC menang di kesemua empat kerusi yang ditandingi menerusi K. Raven Kumar (DUN Kemelah), V. Rugendran (Kahang), P. Pannir Selvam (Perling) dan R. Kumaran (Bukit Batu).
Sebuah lagi parti komponen BN iaitu MCA pula mencatat kemenangan di lapan DUN menerusi Ling Tiang Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Tan Chong (Bekok), Tan Eng Meng (Pekan Nanas), Chua Jian Boon (Layang-Layang), Haw Chin Teck (Tangkak), See Ann Giap (Jementah) dan Chan San San (Johor Jaya).
PH pula meraih kemenangan di lapan kerusi daripada 56 yang ditandingi terdiri daripada enam kerusi menerusi DAP di Skudai, Mengkibol, Bentayan, Senai, Penggaram dan Stulang manakala Amanah memenangi DUN Simpang Jeram dan PKR di DUN Puteri Wangsa. – BERNAMA
