KANSAS CITY, 11 Julai – Kapten Switzerland, Granit Xhaka percaya pasukannya mampu memberikan cabaran kepada juara bertahan, Argentina, Sabtu ini dalam usaha mereka untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Dunia buat julung kali, lapor Xinhua.
Switzerland masih belum tewas dalam kejohanan kali ini, selepas menundukkan Bosnia dan Herzegovina serta Kanada, selain mencatatkan keputusan seri menentang Qatar pada peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan Algeria dan Colombia di pusingan kalah mati.
Aksi suku akhir ini adalah yang pertama buat mereka di Piala Dunia sejak 1954.
“Kami amat dahagakan kejayaan, kami perlu mempunyai mentaliti yang betul dan saya yakin kami benar-benar boleh menggugat Argentina,” kata Xhaka kepada pemberita pada Jumaat.
“Selepas bertahun-tahun, berada di sini bersama Switzerland dan bermain menentang juara bertahan dunia membuatkan saya bangga. Namun, saya di sini bukan sekadar untuk bercakap. Saya mahu melangkah ke peringkat seterusnya.”
Xhaka merupakan sebahagian daripada pasukan Switzerland yang tewas 1-0 kepada Argentina dalam pusingan 16 pada Piala Dunia 2014, apabila Angel Di Maria menjaringkan gol pada minit ke-118.
“Ini bukan tentang balas dendam. Ia ialah perlawanan yang sama sekali berbeza daripada 2014,” kata pemain Sunderland berusia 33 tahun itu.
“Kami berada di suku akhir sekarang dan kami mahu menang. Kami mempunyai pasukan baharu dan generasi pemain yang baharu. Bola sepak di Switzerland telah banyak meningkat. Esok kami akan melakukan yang terbaik untuk menyukarkan Argentina.”
Ketua jurulatih, Murat Yakin berkata, Switzerland telah merangka pelan sendiri untuk mengekang Lionel Messi, walaupun beliau menegaskan bahawa menyekat kapten Argentina itu memerlukan usaha kolektif.
“Mereka banyak berlari, bertahan dengan baik dan mempunyai prinsip yang jelas,” kata Yakin.
“Kami akan beraksi sebagai sebuah pasukan. Kami mahu melakukan tekanan tinggi (press high) dan bermain corak permainan kami sendiri. Kami mempunyai kaedah kami.”
Switzerland akan turun tanpa pemain tengah Johan Manzambi untuk perlawanan di Stadium Kansas City. – BERNAMA
