Categories
Ringkas

AS, Iran Capai Kemajuan Awal Dalam Rundingan Damai Di Geneva

GENEVA, 23 Jun – Rundingan damai peringkat tinggi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Switzerland dilaporkan mencatat perkembangan positif dalam usaha meredakan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Ghalibaf berkata, siri rundingan itu membuahkan hasil memberangsangkan, khususnya dalam perbincangan berkaitan keselamatan selat, situasi di Lubnan, pengecualian sekatan minyak serta pelepasan dana yang dibekukan sebelum ini.

Beliau berkata Iran mencatat kemajuan awal menerusi pelepasan dua fasa dana miliknya yang dibekukan, dengan setiap fasa bernilai AS$6 bilion (kira-kira RM24.9 bilion), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan AS$12 bilion (kira-kira RM49.8 bilion).

Bagaimanapun, katanya, sekatan ekonomi terhadap sektor minyak Iran masih kekal kerana kedua-dua pihak belum memeterai perjanjian muktamad.

Sehubungan itu, Iran memerlukan pengecualian khas bagi membolehkan negara itu meneruskan eksport minyak serta menjalankan urusan perbankan antarabangsa, dengan semua dokumen berkaitan pengecualian tersebut telah diperoleh dan ditandatangani.

Menyentuh situasi di Lubnan, Ghalibaf berkata kedua-dua negara bersetuju menubuhkan sebuah pusat penyelarasan di negara itu bagi mengurus sebarang pertikaian pada masa depan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mencegah peningkatan konflik serta mengelakkan risiko perang, selain membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan normal, di samping memastikan kawasan yang diduduki tentera Israel dikosongkan bagi menghormati kedaulatan nasional Lubnan.

Sementara itu, berhubung laluan strategik di Selat Hormuz, beliau menegaskan pentadbiran kawasan perairan itu tidak akan kembali kepada sistem lama seperti sebelum krisis.

Bagi mengelakkan salah faham, Iran dan AS bersetuju mewujudkan mekanisme penyelarasan baharu termasuk talian hotline khas serta pusat penyelarasan yang boleh dihubungi sekiranya berlaku pertikaian. – Astro AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading