Kategori
Ringkas

Kerjasama Dengan Pas: UMNO Tidak Mahu ‘Dipatuk Ular Sama Kali Kedua’ – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 6 Jan – UMNO menegaskan tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan pembangkang termasuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberi perumpamaan keadaan itu seolah-olah ‘dipatuk ular sama kali kedua di tempat yang sama’.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mesyuarat Biro Politik UMNO yang bersidang pada Isnin, meneliti secara mendalam desakan Pemuda UMNO supaya menjalin semula kerjasama politik dengan Pas.

Namun tegasnya, perkara tersebut masih berada di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan lagi.

“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu… dan kita belum memuktamadkannya lagi.

“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu ‘dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama’,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada UMNO akan menghidupkan semula kerjasama dengan Pas bawah payung MN.

Pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa UMNO menghidupkan semula MN susulan perkembangan politik semasa.

Saranan Muhamad Akmal itu disambut baik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyifatkan cadangan itu sebagai kunci kepada kekuatan serta kebangkitan semula perpaduan ummah. – Astro AWANI / Umavathi Ramayah

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen