Kategori
Ringkas

Cadangan Had Tempoh PM, Elak Kesan ‘Tepu’ – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 6 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh mampu mengelakkan kesan ‘ketepuan’.

Kata beliau, cadangan itu bukan bersifat ‘game changer’, sebaliknya bertujuan memastikan amalan tadbir urus yang lebih sihat dan mengelakkan pemusatan kuasa dalam tempoh terlalu lama.

“Ini bukan satu ‘game changer’, tetapi kita tidak mahu seseorang Perdana Menteri berkhidmat terlalu lama sehingga berlaku situasi ‘overstay’ yang boleh menyebabkan kesan ‘saturation’ (ketepuan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampailan Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini, pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu dicadangkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet khas dan dipersetujui sebulat suara semua ahli Jemaah Menteri.

“Semalam di dalam mesyuarat Kabinet khas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri yang menyarankan tempoh perkhidmatan mana-mana Perdana Menteri hendaklah tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, persetujuan tersebut akan diterjemahkan melalui proses perundangan dengan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara kali ini.

Beliau menambah langkah itu penting bagi mengelakkan seseorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama sehingga menimbulkan kesan dalam pentadbiran.

Ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, pada Isnin, Anwar memaklumkan kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Perdana Menteri berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini. – Astro AWANI / Umavathi Ramayah

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen