Categories
Ringkas

Indonesia Rancang Pembenihan Awan Atasi Abu Anak Krakatau

JAKARTA, 7 Sept – Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) sedang bersiap sedia menjalankan operasi pembenihan awan bagi membantu mengurangkan abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau yang merebak ke beberapa kawasan di Jakarta Raya, Banten dan Lampung, lapor Agensi Berita Antara.

Ketua BNPB Suharyanto pada Isnin berkata bahawa operasi itu akan dimulakan sebaik keadaan cuaca dan keselamatan penerbangan mengizinkan, memandangkan abu gunung berapi telah menjejaskan operasi di beberapa lapangan terbang.

“Apabila keadaan lebih sesuai, kami akan memulakan operasi. Pesawat sudah bersedia di Lapangan Terbang Pondok Cabe,” kata beliau.

Beliau berkata pembenihan awan merupakan antara langkah kerajaan untuk membantu membersihkan abu gunung berapi di atmosfera dengan merangsang hujan.

Selain itu, BNPB turut membuat persediaan untuk melaksanakan semburan kabus air bagi meningkatkan kemungkinan hujan di kawasan terjejas.

Susulan aktiviti Gunung Anak Krakatau, BNPB telah menyelaras dengan agensi pengurusan bencana daerah (BPBD) di kawasan terjejas bagi memantau keadaan di lapangan dan mengenal pasti keperluan tindak balas.

BNPB turut mengerahkan petugas ke beberapa kawasan terjejas untuk meninjau situasi secara langsung serta memastikan pihak berkuasa tempatan bersedia menghadapi kemungkinan kesan aktiviti gunung berapi itu.

Sehubungan itu, Suharyanto menggesa kerajaan tempatan memastikan kesiapsiagaan mekanisme pengurusan bencana termasuk sistem amaran awal, pusat pemindahan, pelan kontingensi serta bekalan makanan dan barangan keperluan.

“Sekiranya bekalan tambahan diperlukan, kami akan memohon bantuan daripada kerajaan pusat,” katanya.

Beliau berkata setakat ini tiada kawasan terjejas yang mengisytiharkan darurat.

Bagaimanapun, BNPB akan terus menyelaras dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi menghadapi kemungkinan aktiviti susulan Gunung Anak Krakatau serta kesannya terhadap orang ramai. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading