PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kerajaan mengambil enam langkah segera bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, dengan pelaksanaannya ditetapkan bermula 1 September 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara keputusan utama ialah mengembalikan had asas subsidi petrol BUDI95 kepada 300 liter sebulan, yang dijangka memanfaatkan lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi.
“Biasanya saya akan jawab tunggu belanjawan, tetapi nampak rakyat tak mahu sabar dan tak mahu menunggu kerana mereka tertekan dan berteri-teri sampainya kepada saya, tekanan sara hidup tak tunggu.
“Perniagaan perlu berkembang sekarang, tak boleh tunggu. Maka di ambang kemerdekaan ini, saya berikhtiar mencari jalan, mengambil langkah dan membuat sesuatu yang boleh melegakan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan ke-69, hari ini.
Enam ikhtiar yang diumumkan ialah:
- BUDI95: Had subsidi petrol dikembalikan kepada 300 liter sebulan.
- BUDI Diesel: Pemilik pikap dan jip yang layak menerima subsidi sehingga 400 liter sebulan.
- Penyelenggaraan sekolah: Peruntukan dinaikkan daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
- AI untuk Rakyat: 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun yang melengkapkan modul akan menerima akses aplikasi AI terpilih secara percuma selama tiga bulan.
- Kesihatan awam: RM1 bilion disediakan untuk sistem rekod perubatan elektronik dan ketersambungan internet di hospital serta klinik kerajaan.
- PMKS: Ambang pengecualian e-invois dinaikkan kepada RM3 juta jualan setahun, selain dana pembiayaan mikro ditambah RM1 bilion dan Geran Sejahtera Madani RM200 juta diperkenalkan.
Anwar berkata, pelaksanaan langkah berkenaan tidak perlu menunggu pembentangan belanjawan seterusnya kerana kerajaan mahu memberikan kelegaan segera kepada rakyat serta memastikan kegiatan ekonomi terus berkembang.
“Semua ini dilaksanakan berkuat kuasa 1 September 2026. Mudah-mudahan keenam-enam ikhtiar ini dapat dilaksanakan kerana ia menolak satu prinsip yang jelas… pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan aset dan dana hasil rasuah yang dirampas akan dikembalikan kepada rakyat, khususnya untuk pendidikan dan kesihatan.
