Categories
Ringkas

Argentina Atur Aksi Separuh Akhir Dengan England

KANSAS CITY, 12 Julai – Argentina menempah tiket ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Switzerland 3-1 menerusi masa tambahan dalam aksi suku akhir yang sengit.

Kemenangan itu mengatur pertembungan menarik menentang England yang terlebih dahulu menyingkirkan Norway untuk mara ke kelompok empat terbaik.

Argentina membuka tirai jaringan menerusi Alexis Mac Allister yang menyudahkan peluang hasil gerakan Lionel Messi pada awal perlawanan.

Switzerland kembali menghidupkan saingan apabila Dan Ndoye menyamakan kedudukan pada babak kedua selepas memanfaatkan hantaran Ricardo Rodriguez.

Beberapa minit kemudian, Switzerland kehilangan Breel Embolo yang dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua berikutan tindakan simulasi.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Switzerland berjaya mempertahankan keputusan seri sehingga tamat 90 minit untuk memaksa permainan diteruskan ke masa tambahan.

Argentina terus mengasak benteng lawan, namun beberapa peluang yang diperoleh gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Kebuntuan akhirnya dipecahkan Julian Alvarez pada minit ke-112 menerusi rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol Switzerland.

Lautaro Martinez kemudian melengkapkan kemenangan Argentina dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Messi tidak menemui nama sebagai penjaring, namun sekali lagi memainkan peranan penting apabila mencipta bantuan gol untuk jaringan pembukaan pasukannya.

Keputusan itu turut menyaksikan juara bertahan tersebut meneruskan rekod tanpa kalah dalam 12 aksi terakhir Piala Dunia.

Switzerland yang memburu penampilan sulung di separuh akhir memberikan tentangan sengit, namun gagal menahan tekanan berterusan daripada Argentina.

Empat pasukan teratas ‘ranking’ FIFA kini melengkapkan barisan separuh akhir kejohanan selepas kemenangan Argentina itu.

Selepas melepasi satu lagi ujian getir, skuad kendalian Lionel Scaloni kini mengalihkan tumpuan kepada cabaran England dalam perebutan tempat ke pentas akhir. – AFP via Harian Metro

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading