SEATTLE, 7 Julai – Belgium melangkah bergaya ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas membenam tuan rumah bersama, Amerika Syarikat (AS) 4-1 dalam aksi pusingan 16 terbaik.
Charles De Ketelaere menjadi watak utama apabila meledak dua gol pada babak pertama, masing-masing pada minit kesembilan dan ke-33 untuk meletakkan Belgium di landasan terbaik.
AS sempat menghidupkan peluang menerusi jaringan Malik Tillman pada minit ke-31 hasil sepakan percuma yang terkena pemain lawan sebelum menerjah gawang Belgium. Namun, kelebihan itu hanya bertahan selama 61 saat sebelum De Ketelaere kembali meledak.
Belgium terus mengukuhkan kedudukan pada babak kedua apabila pemain gantian, Hans Vanaken memanfaatkan kesilapan penjaga gol Matt Freese untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Romelu Lukaku kemudian menutup aksi cemerlang Belgium dengan gol keempat pada masa kecederaan sekali gus memastikan kemenangan selesa buat skuad itu.
Perlawanan itu turut mencuri perhatian apabila Folarin Balogun diturunkan selepas penggantungan kad merahnya dibatalkan, namun penyerang AS itu gagal memberi impak besar selain satu percubaan berbahaya.
Kekalahan tersebut menyaksikan perjalanan AS dalam kejohanan berakhir, sekali gus mengikut jejak Kanada dan Mexico yang turut tersingkir pada pusingan 16 terbaik.
Keputusan itu juga bermakna tiada lagi wakil tuan rumah bersama yang masih kekal dalam saingan, manakala Belgium meneruskan kemaraan dengan penuh bergaya ke peringkat suku akhir. – Reuters via Harian Metro
