MUAR, 30 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk meletakkan jawatan sekiranya senario tertentu berlaku sebagai keputusan peribadi yang tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN hanya melibatkan pembentukan kerajaan negeri dan tidak seharusnya dikaitkan dengan isu di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Alhamdulillah, letaklah jawatan. Memang kita nak dia letak jawatan. Kalau BN menang di Johor, kita hanya tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tidak ada kena-mengena dengan hal-hal di Persekutuan.
“Jadi janganlah cakap besar sangat. Kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tidak ada masalah bagi kita,” katanya selepas menghadiri program sarapan pagi bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Bukit Naning, di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam temu bual bersama Oriental Daily, Nga yang juga Timbalan Pengerusi DAP berkata partinya tidak menolak kemungkinan untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya perkara yang dianggap sebagai “garis merah” parti tersebut berlaku.
Beliau mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dibebaskan lebih awal daripada hukuman yang sedang dijalani.
“‘UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah’ memang merupakan agenda UMNO. Kita semua tidak perlu berpura-pura tidak tahu dan menipu diri sendiri. Ini adalah satu fakta yang pasti. Terus-terang cakap, jika benar-benar Najib dibebaskan hari ini tanpa sebarang kesalahan, saya akan menjadi orang pertama meletak jawatan,” katanya. – Yasmin Natasha / Astro AWANI
