KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli atau Hakim Danish sukar menggambarkan perasaannya selepas merangkul kejuaraan sulung Moto3 musim ini pada perlumbaan Grand Prix (GP) Czech semalam.
Hakim Danish, 18, berkata, kemenangan dilakar di Litar Brno sangat istimewa buatnya, pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI serta seluruh peminat di Malaysia selepas berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum berjaya meraih podium keduanya musim ini.
“Hujung minggu ini bukan mudah kerana kami berdepan dengan pelbagai cabaran, namun saya tidak pernah berhenti percaya kepada kemampuan diri sendiri dan kerja keras yang dilakukan bersama pasukan.
“Saya amat bersyukur kerana akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama di pentas Kejuaraan Dunia Moto3. Saya sangat gembira dan bangga dapat menghadiahkan keputusan ini kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya dalam kenyataan.
Meskipun berjaya meraih petak kedua ketika sesi kelayakan pada Sabtu, pelumba berusia 18 tahun dikenakan penalti selepas didapati memperlahankan jentera pada satu daripada sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2).
Walaupun bermula dari petak ke-14 pada perlumbaan semalam, Hakim Danish memperagakan tunggangan matang dan agresif dengan memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan mencatat masa 33 minit 34.26 saat (s).
Pelumba Sepanyol Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.466s, manakala rakan senegaranya Marco Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team, melengkapkan podium (+0.629s).
Bulan lepas, pelumba dari Terengganu itu menaiki podium sulung musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada GP Itali di Litar Mugello.
Kejayaan Hakim Danish itu menamatkan penantian selama 10 tahun Malaysia untuk menyaksikan kemenangan wakil negara dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir diraih Khairul Idham Pawi pada GP Argentina dan GP Jerman pada musim 2016. – BERNAMA
