EAST RUTHERFORD, 14 Jun – Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti enggan panik meskipun skuad kendaliannya hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Maghribi dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia, awal pagi tadi.
Dalam perlawanan di New Jersey itu, Brazil hampir dikejutkan dengan kekalahan selepas Maghribi terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ismael Saibari pada babak awal permainan.
Bagaimanapun, Vinicius Junior muncul penyelamat apabila meledak gol penyamaan untuk menghadiahkan satu mata buat skuad Selecao.
Ancelotti mengakui anak buahnya gagal mempamerkan aksi sebenar terutama pada separuh masa pertama perlawanan.
“Saya lihat pemain agak tertekan dan gugup pada awal permainan. Kami tidak bermula dengan baik dan itu memberi kesan kepada corak permainan pasukan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan seri itu masih belum menutup peluang Brazil untuk bangkit dalam baki aksi peringkat kumpulan.
“Ini baru langkah pertama dalam kejohanan. Anda tidak akan menjulang Piala Dunia hanya kerana menang perlawanan pembukaan,” jelasnya.
Tambah Ancelotti, Brazil masih mempunyai ruang besar untuk memperkemaskan permainan menjelang aksi seterusnya.
Sementara itu, Vinicius turut mengakui Brazil banyak melakukan kesilapan hingga memberi kelebihan kepada Maghribi untuk menguasai tempo permainan.
“Kami terlalu perlahan pada permulaan perlawanan dan dihukum dengan gol awal. Dalam kejohanan seperti ini, kesilapan kecil boleh memberi kesan besar,” katanya.
Menurut bintang Real Madrid itu, Maghribi tampil lebih berani dan tidak memberi ruang mudah kepada Brazil sepanjang perlawanan berlangsung.
“Kami perlu cepat belajar dan tingkatkan prestasi. Piala Dunia bukan tempat untuk bermain sambil lewa kerana setiap pasukan datang dengan kualiti tersendiri,” ujarnya.
Brazil dijangka berdepan tekanan lebih besar dalam aksi kedua nanti apabila penyokong mula mengharapkan persembahan lebih meyakinkan daripada skuad lima kali juara dunia itu. – AFP via Harian Metro
