Categories
Ringkas

Kerajaan Akan Perinci Syarat Kemasukan Pelajar UEC, Tahfiz Ke Universiti – PM

SEREMBAN, 15 Mei 2026 – Kerajaan akan memperincikan keputusan membenarkan lepasan institusi tahfiz dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), untuk melanjutkan pengajian dalam program terpilih di universiti awam (UA).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin langkah itu akan diterima baik oleh semua pihak memandangkan ia memberi ruang kepada pelajar tahfiz dan UEC mengakses pendidikan tinggi awam, tertakluk kepada syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Keputusan Jemaah Menteri adalah pelajar mesti lulus Bahasa Melayu dan Sejarah. Kita membenarkan akses ini, walaupun pada peringkat awal ia mungkin terhad kepada kursus-kursus tertentu.

“Sebelum ini, perkara ini tidak dipersetujui. Namun, memandangkan sekolah menengah persendirian Cina telah menerima syarat tersebut, kita juga berasa selesa dengannya.

“Nampaknya semua pihak kini bersetuju, walaupun beberapa butiran lanjut masih sedang diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara 2026 peringkat kebangsaan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan keterbukaan itu sebagai langkah inklusif bagi memastikan bakat muda negara daripada pelbagai latar belakang pendidikan dapat menyumbang kepada pembangunan negara melalui saluran akademik yang diiktiraf.

Beliau turut menekankan bahawa pemerkasaan bahasa kebangsaan dan pemahaman sejarah negara tetap menjadi tunjang utama dalam integrasi pendidikan tersebut.

Media pada Khamis melaporkan, calon lepasan SMPC/UEC serta tahfiz berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di universiti awam.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA. – Faida Rahim / Astro AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading