Categories
Ringkas

‘Pelik, Kenapa Bantah?’ – Loke Pertahankan Perluasan Akses UEC Ke IPTA

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Tindakan pihak pembangkang yang mempertikaikan usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada rakyat Malaysia adalah sesuatu yang pelik, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan kemasukan calon lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke program tertentu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan pendidikan bersifat inklusif.

Anthony berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang kepada lepasan sistem pendidikan di luar Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ini komitmen kerajaan untuk memberikan laluan kepada lepasan sistem pendidikan di luar KPM untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Bukan UEC sahaja, sijil tahfiz pun dapat.

“Jadi, langkah ini sebenarnya menambah akses kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pendidikan tinggi dan ia adalah sesuatu yang sangat baik untuk pembangunan modal insan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen Keretapi Segambut Utara di ibu negara hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Pada Khamis, media melaporkan KPT telah mengumumkan peluang kepada calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC untuk mengikuti program tertentu di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). – Firdaus Azil / Astro AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading