GEORGE TOWN, 16 April – Pakej 1 Projek Penyuraian Trafik Plaza Tol Juru-Sungai Dua (PTJSD) dekat sini, dijangka siap lebih awal dan beroperasi pada penghujung 2027, selaras dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia berdasarkan maklumat dikongsikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PTJSD kini telah memasuki fasa pelaksanaan di tapak menerusi kerja-kerja fizikal bagi Pakej 1 yang bermula sejak Oktober tahun lepas.
“Pelaksanaan PTJSD akan diteruskan secara berfasa melibatkan Pakej 2 sehingga Pakej 5 bagi melengkapkan keseluruhan jajaran dari Plaza Tol Juru ke Sungai Dua.
“Kesemua pakej itu dijangka memulakan kerja fizikal pada suku ketiga tahun ini tertakluk kepada perincian skop teknikal yang sedang dimuktamadkan dan secara keseluruhan, projek tersebut disasarkan siap sepenuhnya pada penghujung 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PTJSD, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan rundingan berterusan bersama semua agensi berkaitan serta Pihak Berkuasa Tempatan dan langkah itu penting bagi menangani sebarang isu berbangkit secara menyeluruh sepanjang tempoh pelaksanaan.
Chow berkata kerajaan negeri juga akan terus memantau perkembangan projek itu secara rapi dan komited memastikan setiap fasa pelaksanaan berjalan lancar mengikut perancangan.
Beliau berkata PTJSD diyakini mampu memberi impak signifikan dalam mengurangkan kesesakan trafik, meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan memperkukuh daya saing Pulau Pinang sebagai hab pelaburan strategik negara. – BERNAMA
