Categories
Ringkas

Perbuatan Lucah Melampau Di Tanah Perkuburan, Pasangan Dipenjara 12 Bulan

GEORGE TOWN, 26 Mac – Pasangan yang terlibat dalam perbuatan lucah di sebuah tanah perkuburan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kelucahan melampau, Ahad lepas.

Hukuman terhadap lelaki berusia 58 tahun, dan wanita berusia 37 tahun, diputuskan selepas mereka membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan didakwa bersama-sama melakukan perbuatan kelucahan melampau di kawasan tanah perkuburan yang merupakan satu tempat awam di Tanah Perkuburan Cina, Batu Gantung, Ayer Itam di sini pada 8.30 pagi, 22 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu telah melihat satu video tular dimuat naik di laman sosial Facebook yang memaparkan dua individu melakukan perbuatan lucah di kawasan Tanah Perkuburan Cina, Batu Gantung, Ayer Itam.

Pengadu kemudiannya diarahkan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan untuk membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.

Perbuatan lucah dan kelakuan tidak senonoh tertuduh disaksikan oleh saksi dan terdapat rakaman video yang memaparkan perbuatan tersebut yang dirakam oleh saksi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin memohon satu hukuman yang wajar sebagai pengajaran kepada tertuduh dan amaran kepada orang awam selain mengambil kira lokasi kesalahan serta kepercayaan agama masing-masing.

Peguam R. Purantharan yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman penjara minimum atas alasan Jegathesan bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan menyara dua orang anak serta isterinya yang menghidap strok, manakala Halila pula masih bujang dan ditanggung keluarganya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 38 saat yang memaparkan pasangan berkelakuan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan dan ia dirakam seorang wanita yang turut menegur pasangan berkenaan dengan memberi amaran akan melaporkannya kepada polis. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading