Kategori
Ringkas

Pesalah Buang Sampah Jalani Perintah Khidmat Masyarakat Serentak 13 Feb Ini – Nga

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Semua pesalah yang disabitkan oleh mahkamah bagi kesalahan membuang sampah akan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat secara serentak pada 13 Feb ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pesalah akan menjalani hukuman itu dengan membersihkan longkang, menyapu jalan dan mencuci tandas awam mengikut sabitan mahkamah.

Nga berkata sejak pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi kesalahan pembuangan sampah kecil dikuatkuasakan, sebanyak 600 notis pemberitahuan kesalahan dikeluarkan melibatkan 462 warga tempatan dan 138 warga asing.

“Daripada jumlah itu, 46 kes telah mendapat tarikh sebutan mahkamah dan tiga kes telah disabitkan kesalahan. Saya ingin mengingatkan, jangan sesekali membuang sampah merata-rata kerana kompaun maksimum mengikut bidang kuasa mahkamah boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat hari ini.

Nga menegaskan pendekatan itu bukan bertujuan menghukum semata-mata sebaliknya untuk mendidik seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menjaga kebersihan. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen