Categories
Ringkas

Korea Utara Beri Amaran Tindak Balas ‘Amat Dahsyat’ Jika Korea Selatan Hantar Lebih Banyak Dron

SEOUL, 13 Feb – Korea Utara memberi amaran keras bahawa negara itu akan memberikan “tindak balas yang amat dahsyat” sekiranya mengesan sebarang pencerobohan dron tambahan dari Korea Selatan.

Amaran itu hadir ketika Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, sedang berusaha memperbaiki hubungan dua hala sejak memegang jawatan tahun lalu, termasuk mengkritik pentadbiran terdahulu yang didakwa menghantar dron untuk menabur propaganda ke ruang udara Pyongyang.

Bagaimanapun, Korea Utara mendakwa, mereka telah menembak jatuh sebuah dron pengintip bulan lalu – insiden yang mengancam usaha damai Presiden Lee.

Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin tertinggi Kim Jong Un berkata, Pyongyang tidak akan berdiam diri jika pencerobohan dron berulang.

Menurut kenyataannya yang disiarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), beliau berkata: “Saya memberikan amaran awal bahawa pengulangan provokasi yang melanggar kedaulatan mutlak DPRK pasti akan mencetuskan tindak balas yang amat dahsyat.”

Kim turut menegaskan, Pyongyang tidak berminat sama ada pencerobohan dron dilakukan oleh individu, kumpulan awam atau pihak tertentu di Korea Selatan.

Pihak berkuasa Seoul pada mulanya menafikan sebarang pembabitan rasmi dalam insiden dron Januari lalu, malah mencadangkan ia mungkin tindakan orang awam.

Namun minggu ini, pasukan siasatan bersama tentera‑polis mengesahkan mereka sedang menyiasat tiga anggota tentera aktif dan seorang pegawai agensi risikan, dalam usaha “menentukan kebenaran secara menyeluruh.” – Agensi via Astro AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading