Kategori
Ringkas

Gelombang Boikot Piala Dunia 2026: FIFA Adakan Mesyuarat Tergempar

BADAN induk bola sepak dunia, FIFA, dilaporkan akan mengadakan satu mesyuarat khas berikutan reaksi negatif yang semakin memuncak terhadap penganjuran Piala Dunia FIFA 2026, termasuk tindakan ribuan peminat menarik diri daripada pembelian tiket.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya besar terhadap tahap keyakinan penyokong global serta imej kejohanan yang sering dianggap acara sukan paling berprestij di dunia.

Laporan terkini mendedahkan bahawa sekitar 16,800 tiket dibatalkan dalam tempoh kurang 24 jam, sekali gus menguatkan lagi kempen boikot yang semakin rancak disuarakan.

Dalam kalangan penyokong, isu keselamatan, ketidakstabilan politik dan kebimbangan berkaitan hak asasi manusia di negara tuan rumah antara alasan utama yang mendorong penolakan terhadap kejohanan berkenaan.

Sebagai rekod, Piala Dunia FIFA 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026 dan akan dianjurkan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Kebimbangan peminat semakin memuncak

Fenomena pembatalan tiket yang tersebar luas di pelbagai platform digital memperlihatkan perubahan ketara sikap peminat, khususnya mereka yang merancang perjalanan dari luar negara.

Sebahagian besar penyokong menyatakan rasa bimbang terhadap faktor keselamatan serta suasana semasa yang dianggap tidak kondusif untuk menghadiri acara berskala besar.

Keadaan itu turut memberi tempias kepada sektor pelancongan, apabila kadar tempahan penginapan di beberapa bandar tuan rumah dilaporkan menurun, selain harga tiket di pasaran sekunder mula merosot.

Agenda utama mesyuarat khas FIFA

Mesyuarat yang dirancang itu dijangka melibatkan barisan tertinggi FIFA, wakil persatuan ahli serta pihak penganjur kejohanan dari negara terlibat.

Meskipun butiran rasmi masih belum didedahkan, fokus perbincangan dipercayai berkisar kepada isu pembatalan tiket, keselamatan penonton dan langkah menangani kebimbangan awam.

Penganalisis menjangkakan FIFA akan menilai semula strategi komunikasi, pelan keselamatan serta pendekatan mendekati peminat bagi mengembalikan kepercayaan terhadap kejohanan tersebut.

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen