Kategori
Ringkas

Pulau Pinang Laksana Perintah Khidmat Masyarakat Bermula 1 Julai 2026

BUKIT MERTAJAM, 2 Jan – Pulau Pinang bersetuju untuk menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah membuang sampah kecil di tempat awam bermula 1 Julai 2026, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye.

Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada 17 Dis meluluskan cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan perintah itu mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan (pindaan) 2025 (Akta A1773).

“Perintah ini dilaksanakan KPKT pada peringkat Persekutuan bermula semalam mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tetapi Pulau Pinang masih belum menerima pakai akta itu sebaliknya hanya melaksanakan pindaan di bawah Akta A1173.

“Mesyuarat juga bersetuju memberikan tempoh enam bulan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi membuat persiapan sebelum pelaksanaan penuh bermula 1 Julai,” katanya.

H’ng berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBSP yang disaksikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Menara MBSP, di sini hari ini serta turut dihadiri Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Beliau berkata tiada tindakan penguatkuasaan diambil sepanjang tempoh itu dengan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut diarah menubuhkan pasukan petugas untuk membuat persiapan rapi bagi merangka mekanisme pelaksanaan termasuk aspek pendidikan dan kaedah pengeluaran saman sebelum penguatkuasaan penuh.

H’ng berharap dua PBT itu menerusi jabatan berkaitan dapat berbincang bersama-sama ahli majlis yang baharu dilantik bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar memandangkan ia merupakan dasar Persekutuan.

Pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat berkuat kuasa semalam di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen