Kategori
Ringkas

Zohran Mamdani Angkat Sumpah Datuk Bandar NYC Muslim Pertama

NEW YORK CITY, 1 JAN – Zohran Kwame Mamdani mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York City (NYC) yang baharu tepat selepas detik tengah malam Tahun Baharu, menjadikannya pemimpin Muslim dan berketurunan Asia Selatan pertama menerajui bandar raya terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu.

Upacara angkat sumpah rasmi berlangsung dalam suasana sederhana di sebuah stesen kereta api bawah tanah lama yang terletak di bawah Dewan Bandaraya, sebelum majlis perasmian terbuka diadakan pada sebelah petang di hadapan ribuan penduduk kota.

Menurut laporan media tempatan, Mamdani mengangkat sumpah dengan meletakkan tangan di atas tiga naskhah al-Quran — dua daripadanya milik keluarganya dan satu lagi naskhah berusia 200 tahun yang dipinjam khas daripada Perpustakaan Awam New York (NYPL).

Naskhah bersejarah itu dikenali sebagai “Schomburg Quran” dan pernah dimiliki oleh sejarawan kulit hitam terkenal, Arturo Schomburg.

“Saya berdiri di sini sebagai anak imigran, sebagai seorang Muslim, dan sebagai rakyat biasa yang percaya bahawa New York adalah milik semua,” kata Mamdani dalam ucapan sulungnya yang disambut sorakan para penyokong.

Mamdani, 34, sebelum ini merupakan anggota Dewan Perundangan Negeri New York dan dikenali sebagai aktivis progresif yang memperjuangkan isu perumahan mampu milik, reformasi sistem pengangkutan awam, dan keadilan sosial.

Kemenangannya dalam pilihan raya 2025 menandakan perubahan arus politik di kota itu, dengan sokongan kuat daripada golongan muda dan komuniti minoriti.

Majlis perasmian bertemakan “Inauguration of a New Era” turut disertai lebih 4,000 tetamu dan diiringi acara “Block Party on Broadway” di sepanjang laluan ikonik Canyon of Heroes, menandakan permulaan era baharu dalam pentadbiran bandar raya itu.

Mamdani dijangka mengumumkan beberapa pelantikan utama dalam pentadbirannya, termasuk dalam sektor pengangkutan dan perumahan, dalam masa terdekat.

Beliau juga menekankan komitmennya untuk menjadikan New York sebagai bandar yang lebih adil, inklusif dan mampan. – Astro AWANI

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen