Kategori
Ringkas

Saman Tertunggak Tiada Kaitan Dengan Kelayakan BUDI95 – Loke

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan dakwaan bahawa kegagalan menjelaskan saman trafik akan menyebabkan pemohon kehilangan kelayakan untuk menikmati subsidi petrol BUDI95.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Sie Fook berkata, kedua-dua mekanisme tersebut beroperasi secara berasingan dan tidak mempunyai kaitan langsung.

Beliau menjelaskan bahawa kelayakan subsidi BUDI95 ditentukan berdasarkan syarat asas tertentu, bukan status saman tertunggak.

“Saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol BUDI95 merupakan dua mekanisme berbeza. Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan automatik,” katanya lagi.

Baru-baru ini portal berita The Star melaporkan, terdapat 4.95 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang belum dijelaskan bernilai RM1.48 bilion, manakala hampir RM6.6 bilion saman polis masih tertunggak.

“Pemandu yang gagal menjelaskan saman bukan sahaja berdepan risiko dihalang daripada memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan, malah boleh dikenakan tindakan mahkamah.

“Mereka juga mungkin kehilangan kelayakan BUDI95 kerana subsidi petrol tersebut dikaitkan dengan status lesen memandu,” menurut laporan itu lagi.

Dalam pada itu Anthony menjelaskan, antara syarat utama untuk memohon atau terus menikmati subsidi BUDI95 ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad, serta memiliki lesen memandu yang aktif.

Lesen aktif merujuk kepada lesen yang masih sah atau yang tempoh luputnya tidak melebihi tiga tahun.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Walaupun saman tidak menjejaskan kelayakan subsidi, pematuhan undang-undang adalah tanggungjawab bersama,” katanya lagi. – Astro AWANI

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen