Kategori
Berita

Vaksinasi Remaja Bawah 18 Tahun Di Sarawak Dijangka Bermula Rabu Ini

KUCHING, 5 Sept – Vaksinasi COVID-19 bagi remaja berusia bawah 18 tahun di Sarawak dijangka bermula Rabu ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini negeri itu di peringkat akhir melaksanakan persiapan untuk melaksanakan vaksinasi kumpulan berkenaan.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberitahu, mereka sedang membuat persiapan untuk melaksanakan program ini susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam bahawa program yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu akan dimulakan di Sarawak pada Rabu ini.

“Ini kerana Sarawak sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya telah divaksin,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Uggah berkata, setelah persiapan selesai, pengumuman secara terperinci berkaitan pelaksanaan proses vaksinasi itu akan dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Bawah 18 Tahun Mula Divaksin Minggu Depan, Didahului Dengan Sarawak – Khairy

Sementara itu, Uggah sekali lagi merayu kepada sebilangan kecil rakyat Sarawak yang menolak atau masih enggan disuntik vaksin agar berbuat demikian secepat mungkin.

Beliau berkata, selagi ada individu yang tidak divaksin mereka bukan sahaja akan membahayakan diri sendiri malah orang lain di sekeliling.

“Lebih-lebih lagi sekarang, terdapat banyak kes positif dan varian Delta yang lebih mudah berjangkit,” tambahnya. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

One reply on “Vaksinasi Remaja Bawah 18 Tahun Di Sarawak Dijangka Bermula Rabu Ini”

Tinggalkan komen