Categories
Berita

Remaja Bawah 18 Tahun Mula Divaksin Minggu Depan, Didahului Dengan Sarawak – Khairy

PUTRAJAYA, 4 Sept – Remaja berusia 18 tahun ke bawah akan mula menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula minggu hadapan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, inisiatif itu akan dimulakan di Sarawak kerana kadar pemberian vaksin di negeri itu kini sudah mencapai sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya divaksin.

“Kita akan mulakan dengan remaja di Sarawak memandangkan negeri berkenaan sudah melepasi sasaran 80 peratus populasi dewasanya divaksin,” katanya dalam sesi temu bual bersama media pada Sabtu.

Tambah beliau, tetapan kadar sasaran bagi remaja yang divaksin akan dibuat berdasarkan jumlan bekalan vaksin yang diterima.

“Saya berharap, lebih ramai golongan remaja mendapat vaksinasi dalam tempoh 100 hari akan datang. Kita mahu, apabila bermulanya penggal persekolahan baharu pada tahun hadapan, semua remaja telah melengkapkan suntikan vaksin mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, langkah untuk menangguhkan pembukaan semula sekolah pada Oktober depan selagi pelajar belum lengkap divaksinasi akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan kelak.

“Kita akan mengadakan satu perbincangan dan meneliti risiko pelaksanaannya,” tambah beliau lagi.

Untuk rekod, setakat ini, kerajaan hanya meluluskan penggunaan vaksin jenis Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin tersebut di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas yang ditetapkan, serta menerusi program ‘outreach‘ yang dijalankan di sekolah-sekolah. – ASTRO AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

2 replies on “Remaja Bawah 18 Tahun Mula Divaksin Minggu Depan, Didahului Dengan Sarawak – Khairy”

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading