Categories
Berita

Imam, Bilal Enggan Divaksin Akan Diberi Kaunseling – Ahmad Marzuk

KOTA BHARU, 4 Sept – Kumpulan imam dan bilal yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 akan dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat untuk menjalani sesi kaunseling.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sesi kaunseling itu bagi menjelaskan tentang kepentingan pengambilan vaksin serta memberi penerangan kepada golongan terbabit bahawa vaksinasi tidak membawa keburukan.

“Sesetengah negeri kelompok sasar yang tertentu tidak mahu mengambil vaksin ini kerana terpengaruh dengan dakyah dan juga propaganda sesetengah pihak. Perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya, bukan tindakan undang-undang tetapi penerangan dan penjelasan termasuk mengadakan kaunseling,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat Kampung Landak, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap 95 guru agama, 17 pegawai masjid serta jurunikah yang menolak suntikan vaksin COVID-19 walaupun negeri itu mencatatkan bilangan jangkitan harian yang tinggi.

Ahmad Marzuk berkata keengganan golongan antivaksin perlu dipandang serius kerana vaksinasi itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok memandangkan hakikat COVID-19 kini merupakan endemik. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading