Categories
Ringkas

Prabowo Jawab Pengkritik Harga Beras, Minta Mereka Tanam Padi Sendiri

JAKARTA, 18 Julai – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyarankan pihak yang mendakwa harga beras terlalu tinggi supaya memahami sendiri cabaran sektor pertanian dengan menanam padi.

Beliau berkata, kritikan terhadap harga beras tidak sepatutnya dibuat tanpa mengambil kira kesukaran yang dihadapi golongan petani dalam menghasilkan bekalan makanan ruji negara.

Menurut laporan TEMPO, Prabowo berpandangan terdapat pihak yang tidak mahu melihat petani memperoleh pendapatan lebih baik daripada hasil tanaman mereka.

“Mereka yang mengatakan beras terlalu mahal, suruh mereka ikut tanam padi juga.

“Jika petani padi tidak dibenarkan memperoleh pendapatan tinggi, maka beritahu mereka untuk menanam padi sendiri,” katanya ketika berucap pada acara tuaian Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Kabupaten Malang, Jawa Timur.

Prabowo kemudian berseloroh bahawa TNI bersama Menteri Pertanian, Amran Sulaiman boleh menyediakan kawasan khas kepada golongan yang mengkritik untuk mencuba sendiri aktiviti penanaman padi.

“Suruh mereka tanam sendiri,” ujarnya.

Beliau menegaskan kehidupan petani perlu diberi perhatian dengan memastikan mereka mampu menikmati pendapatan yang lebih baik.

Menurut Prabowo, petani dan nelayan merupakan golongan penting kerana memainkan peranan besar dalam memastikan keperluan makanan rakyat Indonesia sentiasa tersedia.

“Terima kasih para petani dan nelayan Indonesia. Anda adalah wira sejati kerana menghasilkan makanan untuk kita semua,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Prabowo turut menyaksikan pelaksanaan tuaian besar-besaran melibatkan tanaman beras, tebu dan kacang soya secara serentak di 43 lokasi seluruh Indonesia.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh keselamatan makanan negara dengan penglibatan tiga cabang utama TNI.

Beliau turut memuji kejayaan pelaksanaan program tuaian bersepadu yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Prabowo berkata, isu keselamatan makanan bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pertanian, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh komponen negara. – Tempo

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading