Categories
Ringkas

Perancis Selangkah Lagi Ke Pentas Akhir Piala Dunia

FOXBOROUGH, 10 Julai – Perancis menempah tiket ke separuh akhir Piala Dunia selepas menundukkan Maghribi 2-0 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Boston.

Kylian Mbappe muncul watak utama apabila menjaringkan satu gol dan turut mencipta bantuan jaringan buat Ousmane Dembele.

Sebelum itu, Mbappe terlepas peluang membuka tirai jaringan selepas sepakan penaltinya pada babak pertama diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.

Namun, penyerang itu menebus kesilapan berkenaan menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-60.

Enam minit kemudian, lorongan kemas Mbappe disudahkan Dembele untuk menggandakan kelebihan Les Bleus.

Jaringan tersebut menyaksikan Mbappe kini mengumpul lapan gol dalam kejohanan ini, sekali gus menyamai Lionel Messi dalam perebutan anugerah Kasut Emas.

Menjelang penghujung perlawanan, Mbappe dikeluarkan sambil meletakkan pek ais pada buku lali kanannya, namun kecederaan itu tidak menghalangnya menerima tepukan gemuruh penyokong.

Perancis bakal menentang pemenang perlawanan antara Sepanyol dan Belgium bagi merebut tempat ke pentas akhir.

Skuad kendalian Didier Deschamps turut mengulangi kejayaan menyingkirkan Maghribi selepas pernah melakukannya pada separuh akhir edisi 2022.

Ketiadaan Ismael Saibari akibat kecederaan dilihat menjejaskan jentera serangan Maghribi yang gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang.

Walaupun mendapat sokongan padu penyokong sendiri, wakil Afrika itu tidak berjaya menembusi benteng pertahanan Perancis yang terus kebal dalam aksi kalah mati.

Perancis sebelum itu turut mencipta beberapa peluang menerusi Desire Doue dan Lucas Digne, namun Bounou bertindak cemerlang memastikan kedudukan kekal seri sehingga waktu rehat.

Mbappe kini sudah meledak 20 gol daripada 20 penampilan di Piala Dunia, hanya satu jaringan di belakang rekod keseluruhan Messi yang memiliki 21 gol.

Kemenangan itu menghidupkan impian Perancis untuk mara ke pentas akhir Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus menghampiri penamat sempurna buat Deschamps dalam kejohanan terakhirnya sebagai ketua jurulatih. – AFP via Harian Metro

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading