PHILADELPHIA, 5 Julai – Perancis menempah slot ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Paraguay 1-0, namun keputusan itu dibayangi kontroversi membabitkan mutu pengadilan.
Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Kylian Mbappe untuk memastikan skuad Les Bleus membawa pulang kemenangan.
Sejak wisel permulaan, Paraguay mempamerkan corak permainan yang cukup fizikal dan agresif dalam usaha menyekat ancaman barisan serangan Perancis, khususnya Mbappe.
Prestasi pengadil dari Uzbekistan, Ilgiz Tantashev, kemudian menjadi bualan apabila beliau didakwa gagal mengawal rentak permainan yang semakin tegang.
Sepanjang perlawanan, Paraguay melakukan 12 kekasaran, namun tiada seorang pun pemain mereka dikenakan kad kuning.
Sebaliknya, tiga pemain Perancis pula menerima kad kuning, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai konsistensi keputusan yang dibuat oleh pengadil.
Bekas penjaga gol England, Joe Hart dan bekas pemain Jerman, Thomas Hitzlsperger yang bertugas sebagai penganalisis BBC turut menyuarakan kritikan terhadap corak permainan Paraguay.
“Saya sangat suka bagaimana Mbappe bermain dalam perlawanan ini… pemain Paraguay bertindak seperti satu tindakan yang sangat memalukan malam ini,” kata Hart.
Beliau turut berpandangan pengadil sepatutnya mengambil tindakan lebih tegas bagi mengelakkan risiko kecederaan terhadap pemain.
Di media sosial, ramai penyokong melahirkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan sambil menggesa FIFA menilai semula prestasi pengadil berkenaan.
Ketegangan tidak berakhir selepas wisel penamat apabila berlaku pertengkaran kecil membabitkan pemain kedua-dua pasukan, sekali gus menutup aksi tersebut dengan suasana yang kurang menyenangkan. – Agensi via Harian Metro
