MONTERREY, 21 Jun – Kemenangan 4-0 Jepun ke atas Tunisia dalam aksi Piala Dunia bukan sahaja mencuri perhatian di atas padang, malah turut menyerlahkan sikap terpuji penyokong Samurai Biru di tempat duduk penonton.
Sebaik wisel penamat dibunyikan, ramai penyokong Jepun tidak terus meninggalkan stadium, sebaliknya mengambil beg sampah dan mengutip sisa yang ditinggalkan di sekitar kawasan mereka.
Aksi itu berlaku selepas perlawanan bersejarah yang menjadi perlawanan ke-1,000 dalam sejarah Piala Dunia FIFA.
Bagi rakyat Jepun, amalan membersihkan kawasan awam atau dikenali sebagai gomi hiroi bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada budaya yang diterapkan sejak kecil.
Penyokong Jepun, Ken Okawa, berkata beliau berbuat demikian sebagai tanda menghargai layanan baik yang diterimanya sepanjang berada di Mexico.
“Kami datang sebagai tetamu. Penduduk di sini melayan kami dengan baik, jadi membersihkan kawasan ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih,” katanya.
Seorang lagi penyokong, Miku Takeya, menjelaskan budaya menjaga kebersihan sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat Jepun.
“Kami diajar supaya meninggalkan sesuatu tempat dalam keadaan lebih baik atau sekurang-kurangnya sama bersih seperti ketika kami datang,” katanya.
Tindakan penyokong Jepun itu sekali lagi menjadi tular di media sosial dan menerima pujian daripada peminat bola sepak dari pelbagai negara.
Malah, menjelang aksi menentang Tunisia, pihak berkuasa di Nuevo León dilaporkan menyediakan kira-kira 20,000 beg sampah di stadium serta beberapa lokasi tumpuan penyokong.
Bagi Ichiro Oyo, apa yang dilakukan mereka bukan sesuatu yang istimewa.
“Ini hanyalah tanggungjawab asas sebagai pengguna sesuatu tempat dan perkara biasa bagi kebanyakan rakyat Jepun,” ujarnya.
Ryo Matsuoka pula mengakui berbangga kerana nilai positif masyarakat negaranya dapat dipertontonkan kepada dunia di pentas sukan paling berprestij itu. – Reuters via Berita Harian
