KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menolak gesaan agar Pas keluar daripada gabungan itu susulan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menteri Besar Terengganu itu berkata, PN bukan milik mana-mana parti gabungan secara mutlak, tetapi ia ditubuhkan atas semangat dan dasar muafakat parti pengasas.
Kata Ahmad Samsuri lagi, selaku Pengerusi yang sah, beliau akan memastikan gabungan itu diurus dengan tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta negara.
“Pas juga adalah antara parti pengasas PN dan saya sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN.
“Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak. Ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan antara parti dalam gabungan tersebut perlu ditangani secara matang dan berlandaskan prinsip musyawarah.
Beliau turut memberi peringatan bahawa kenyataan terbuka yang bersifat spekulatif atau mendesak mana-mana parti keluar daripada PN hanya akan merencatkan usaha memperkukuh kesatuan pembangkang.
Isu hubungan antara Pas dan Bersatu kembali menjadi perhatian selepas Pas melalui Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengumumkan keputusan untuk menamatkan kerjasama politik kedua-dua parti, baru-baru ini. – Firdaus Azil / Astro AWANI
