Categories
Ringkas

GSF 2.0: 29 Delegasi Malaysia Dibebaskan, Dijangka Tiba Di KLIA Ahad Ini – SNCC

SEPANG, 21 Mei – Seramai 29 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 disahkan sudah dibebaskan daripada tahanan Israel, dan dijangka berlepas dari Turkiye pada Sabtu.

Mereka dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby berkata delegasi 39 negara lain juga telah dibebaskan, selepas semua mereka dibawa ke Pelabuhan Ashdod semalam.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berhubung dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berhubung koordinasi pergerakan delegasi Malaysia dari Israel ke Istanbul.

“SNCC dimaklumkan oleh pihak Perdana Menteri bahawa Presiden Turkiye telah menghantar tiga buah kapal terbang Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon yang terletak di tanah haram Israel.

“SNCC juga mengesahkan laporan terkini dari ADALAH bahawa 428 aktivis flotila kini sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan dijangka tiba di Istanbul menggunakan tiga penerbangan tajaan khas kerajaan Turkiye dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Ujarnya, ketiga-tiga penerbangan Turkish Airlines akan berlepas daripada tanah haram Israel malam esok dan tiba di Turkiye jam 10 malam (waktu Malaysia).

Katanya, mereka akan disambut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta kerajaan Turkiye beserta dengan wakil Sumud Nusantara di Istanbul.

Delegasi Malaysia juga akan melalui pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Istanbul berdasarkan laporan dan maklumat bahawa ada tahanan yang telah dipukul serta mengalami kecederaan yang teruk.

Perkembangan itu antara yang terbaharu selepas Pertubuhan hak asasi undang-undang, ADALAH, mengesahkan pihaknya menerima makluman rasmi daripada Perkhidmatan Penjara Israel serta pihak berkuasa berkaitan bahawa semua ahli misi yang ditahan daripada pakatan Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition telah dilepaskan untuk proses pengusiran keluar. – Farhan Hakimi / Astro AWANI

Wartawan Share Rangers's avatar

By Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading