KUALA LUMPUR, 19 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, khususnya ADUN Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco negeri Ronnie Liu, supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor untuk menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Baginda bertitah, mereka disaran hadir seminggu sekali bagi mengimbas kembali sejarah pembentukan Rukun Negara yang tercetus susulan darurat selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, baginda menyebut nama kedua-dua individu itu secara khusus agar menghayati kepentingan Rukun Negara, termasuk menghormati institusi raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
“Beta juga menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen ini.
“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.
“Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook Selangor Royal Office. – Khalis Khadir / Astro AWANI
