Kategori
Ringkas

Eneos Ambil Alih Operasi Caltex Di Asia Tenggara, Jenama Dikekal

SYARIKAT tenaga dari Jepun, Eneos mengumumkan pengambilalihan penuh perniagaan hiliran bahan api dan pelincir milik Chevron di beberapa negara Asia Tenggara serta Oceania, termasuk Malaysia, Singapura, Filipina, Vietnam dan Indonesia. Langkah itu menyaksikan operasi lebih 450 stesen minyak Caltex di negara ini bakal berada di bawah pengurusan baharu.

Meskipun berlaku pertukaran pemilikan, jenama Caltex akan terus digunakan dan tidak ditukar kepada identiti Eneos. Ketua Pegawai Eksekutif Eneos, Miyata Tomohide berkata, nilai serta reputasi jenama berkenaan yang dibina sejak sekian lama dianggap aset penting syarikat.

Urus niaga bernilai kira-kira AS$2.17 bilion atau sekitar RM8.5 bilion itu dijangka dimuktamadkan pada tahun 2027 selepas mendapat kelulusan pihak berkaitan serta memenuhi syarat penutupan perjanjian.

Pengambilalihan tersebut turut melibatkan pegangan Chevron dalam Singapore Refining Company (SRC), dengan proses pembelian dijalankan menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV) berpangkalan di Singapura.

Dalam pada itu, Chevron menyifatkan keputusan tersebut sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan semula portfolio antarabangsa syarikat. Presidennya, Andy Walz berkata, pihaknya yakin Eneos mampu meneruskan kekuatan dan perkembangan jenama Caltex di rantau Asia Pasifik.

Menurut Tomohide lagi, pelaburan besar itu dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh hubungan perniagaan antara Jepun, Asia Tenggara dan Oceania, selain memperluaskan lagi rangkaian perdagangan bahan api syarikat itu di pasaran serantau. – Hazril Hafiz / Paultan

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen