Categories
Ringkas

‘I’m Coming Home’ – KJ Tidak Kisah Kembali Ke Bahtera UMNO Sebagai Anak Kapal Biasa

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin secara terbuka menyatakan beliau tidak meletakkan apa jua syarat untuk kembali kepada UMNO, apatah lagi mempunyai hajat peribadi atau sebarang permintaan.

Dalam catatan terbaharu di laman media sosialnya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau hanya ingin diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa, sekiranya diterima masih kembali ke bahtera parti itu.

Tegasnya lagi, atas semangat Rumah Bangsa, beliau telah menghantar surat rayuan meminta pemecatan beliau yang berlaku pada 2023 dibatalkan, dan nombor keahlian asal diaktifkan semula.

“Di saat politik tanah air berdepan dengan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa – UMNO – yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan.

“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.

“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya lagi.

Dalam catatan tersebut, Khairy Jamaluddin turut menzahirkan penghargaan di atas keterbukaan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima kehadiran beliau ke rumah pada Ahad, di samping surat rayuan tersebut.

“Dengan jiwa besar Presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali.

“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti,” katanya lagi.

Untuk rekod, Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO pada Januari 2023, bersama beberapa pemimpin lain, susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Astro AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading