PUTRAJAYA, 13 Feb – Mahkamah Rayuan hari ini melepaskan sementara pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful yang sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azmi Ariffin, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membenarkan permohonan Syed Shah Iqmal, 31, untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu, yang perintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Jan 2026 sehingga rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu diputuskan Mahkamah Rayuan.
“Kami mendapati bahawa terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon dilepaskan atas jaminan sehingga rayuan pemohon di Mahkamah Rayuan ini diputuskan. Antara alasan-alasannya ialah kami mendapati pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi. Oleh itu, kami tidak melihat wujudnya risiko ketidakhadiran pemohon pada peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan nanti.
“Mahkamah juga mendapati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan melalui afidavit bahawa pemohon pernah melarikan diri atau menghilangkan diri daripada menghadiri prosiding pada peringkat Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi, selain mengambil kira ini adalah kesalahan pertama pemohon dan harus diberikan pertimbangan,” kata Hakim Azmi yang membacakan keputusan sebulat suara itu.
Sehubungan dengan itu, Hakim Azmi berkata pemohon (Syed Shah Iqmal) dilepaskan sementara dengan wang jaminan RM40,000 beserta dua penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah, perlu melaporkan diri setiap bulan bermula Mac 2026 di balai polis Seksyen 6 Shah Alam, Selangor, sehingga rayuan diputuskan Mahkamah Rayuan.
“Sekiranya, ada pelanggaran pada mana-mana syarat tersebut, maka jaminan yang diberikan pada hari ini akan dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan ini,” kata hakim Azmi.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Atiqah Abdul Karim, manakala peguam M. Athimulan, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bertindak bagi pihak Syed Shah Iqmal. – BERNAMA
