Categories
Ringkas

Melaka Umum Cuti Khas Kepada Penjawat Awam Pada 1 Ramadan

MELAKA, 19 Jan – Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan cuti khas kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan di negeri itu pada 1 Ramadan ini, yang dijangka jatuh pada 19 Feb.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bagi menghargai khidmat lelah semua penjawat awam di Melaka yang bertungkus lumus melaksanakan pelbagai program pada tahun lepas.

“Ada pula yang sampai suami mengadu di komen, katanya, “Tok kesian dekat saya, hujung minggu pun isteri kena kerja”! Saya faham…saya dengar dan saya amat memahami…inilah gambaran sebenar komitmen penjawat awam negeri Melaka, sanggup bertugas siang dan malam, berhujan berpanas, meninggalkan keluarga tercinta demi rakyat Melaka.

“Mudah-mudahan cuti ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membuat persiapan menyambut Ramadan bersama keluarga. Semoga dengan cuti Ramadan ini dapat mendekatkan yang jauh, dapat memesrakan yang lama tak dapat bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Menerusi pengumuman itu, Melaka akan mempunyai enam hari cuti umum dan cuti hujung minggu secara berturut-turut bermula sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Feb, cuti khas 1 Ramadan (19 Feb), Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (20 Feb) serta pada Sabtu dan Ahad (21 dan 22 Feb). – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading