Kategori
Ringkas

‘Desakan Letak Jawatan Isyarat Untuk Saya Lakukan Lebih Baik’ – Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan desakan supaya beliau melepaskan jawatan sebenarnya merupakan satu panggilan untuk beliau melakukan yang lebih baik demi masa depan murid serta keseluruhan ekosistem pendidikan negara.

Beliau berkata gesaan sedemikian susulan beberapa insiden besar yang berlaku di sekolah sejak kebelakangan ini, menjadi mesej jelas bahawa kementeriannya perlu memperkukuh dasar serta menangani isu membabitkan warga pendidik dan pelajar dengan lebih berkesan.

“Desakan meletak jawatan itu sepatutnya dilihat sebagai satu dorongan bahawa kita mesti melakukan yang lebih baik.

“Setiap kali saya masuk ke sekolah, perkara pertama yang saya fikirkan ialah anak-anak murid. Ketua Pengarah Pendidikan sering menegur saya, katanya apabila Menteri Pendidikan masuk sekolah, beliau tidak mencari orang lain — beliau mencari dan memeriksa keadaan murid dahulu — kerana itu memang keutamaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan Menteri Pendidikan bersama editor kanan media di kementerianya di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata cabaran termasuk desakan supaya beliau melepaskan jawatan adalah sebahagian daripada realiti dunia politik yang perlu dihadapinya.

“Apabila kita memilih untuk menjadi ahli politik, pelbagai cabaran perlu ditempuh. Jadi saya hadapi sahaja. Bukannya kerana saya tidak buat kerja. Saya juga tidak bersikap defensif, memang ada kelemahan, tetapi fokus kita tetap kepada usaha menambah baik dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Menurutnya beliau turut menerima pesanan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar sentiasa bersabar dalam menghadapi cabaran.

“Satu-satunya pesanan Perdana Menteri kepada saya ialah supaya sabar. Beliau kata, ketika menjadi Menteri Pendidikan dahulu, keadaannya lebih mencabar. Beliau turut berkongsi beberapa contoh mengenai situasi sukar yang pernah dilaluinya. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen