Categories
Jenayah

Lelaki Ditahan Disyaki Miliki Bahan Pornografi Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Seorang lelaki ditahan di Klang, Selangor kerana disyaki memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer miliknya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada Selasa lepas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah suspek, PDRM mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer miliknya.

“Siasatan juga mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak, selain, memuat turun bahan pornografi kanak-kanak dengan menggunakan media sosial.

“Sehubungan itu, polis merampas komputer, cakera keras luaran (external hard disk), penghala (router) dan telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejayaan tangkapan lelaki itu adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan suspek kini direman selama empat hari bermula 14 Dis (semalam) hingga Sabtu ini.

Noorsiah berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

— BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading