SETELAH tewas menentang Perancis, skuad bola sepak England membuat keputusan untuk membawa pulang seekor kucing asal Qatar ke United Kingdom (UK) sebagai ganti kepada trofi siri Piala Dunia kali ini yang tidak berkesempatan diraih mereka.
Skuad yang lebih dikenali sebagai Three Lions itu tidak akan meninggalkan Qatar dengan tangan kosong, malah sempat mengutip peluang untuk menambah ‘rakan baharu’ dalam pasukan mereka selepas berkenalan bersamanya sepanjang di sana, lapor Daily Mail.
Kyle Walker dan John Stones, pemain pertahanan yang bermain untuk perlawanan terakhir England, telah memutuskan untuk mengambil seekor kucing yang diberi nama Dave oleh Stones setelah berkenalan dengannya di tempat penginapan mereka.
Usai sering bergambar dengan gandingan Manchester City itu setiap malam, Dave telah dijadikan sebagai maskot pasukan mereka.
Ketika dalam persiapan melawan Perancis, Stones ditanya akan keadaan Dave ketika itu.
“Dave baik-baik sahaja, dia bergaduh dengan kucing lain pada malam sebelumnya. Saya rasa dia bergaduh kerana berebut makanan, tetapi dia berada dalam keadaan baik.
“Saya harap saya boleh berpegang pada janji bahawa dia akan pulang bersama kami jika kami memenangi Piala Dunia. Keadaan Dave baik, terima kasih kerana bertanya,” katanya.
Bahkan menurut Walker, Dave turut dianggap sebagai anak angkat kepadanya dan Stones.
“Kehadiran Dave sangat dialu-alukan. Ada orang memang tak suka kucing tetapi saya sayang dia,” ujar Walker.
Sebelum ini, difahamkan, Walker telah berjanji untuk membawa pulang Dave ke UK sekiranya mereka memenangi perlawanan itu, namun meskipun pasukan itu tewas di tangan Perancis ketika suku akhir, kucing itu tetap akan dibawa pulang mereka. – DAILY MAIL
