PEJABAT Persatuan Diraja (ORST) telah mengumumkan pertukaran nama rasmi ibu negara Thailand, daripada Bangkok kepada Krung Thep Maha Nakhon. Walau bagaimanapun, nama Bangkok masih diiktiraf, lapor Bangkok Post
Kabinet pada Selasa meluluskan draf pengumuman Pejabat Perdana Menteri mengenai nama negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu kota yang dikemas kini, seperti yang dicadangkan oleh ORST.
Nama rasmi baharu, Krung Thep Maha Nakhon, tidak akan berkuat kuasa sehingga ia disemak oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab meneliti semua draf rang undang-undang. Kabinet juga meminta panel untuk mengambil kira pemerhatian tambahan daripada Kementerian Luar.
Pengumuman yang diluluskan oleh mesyuarat kabinet mingguan pada Selasa lalu, berkata, jawatankuasa ORST mengenai kamus nama geografi antarabangsa, yang terdiri daripada pakar Kementerian Luar Negeri, telah mengemas kini ejaan negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu kota agar selaras dengan keadaan semasa dan kemudiannya menyerahkan senarai tersebut kepada Pejabat PM untuk mengeluarkan pengumuman tersebut.
Draf pengumuman itu juga membatalkan pengumuman Perdana Menteri mengenai nama negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu kota bertarikh 9 November 2001 dan menggunakan pengumuman ORST mengenai nama terkini 1 September tahun lepas.
Dalam pengumuman ORST, Krung Thep Maha Nakhon akan menjadi nama rasmi bagi ibu negara Kerajaan Thailand. Bagaimanapun, nama Bangkok akan diletakkan dalam kurungan.
Dalam pengumuman yang sama, ORST turut mengemas kini ejaan rasmi untuk negara lain, termasuk Rom dan Roma untuk ibu negara Itali, perubahan ibu negara Myanmar dari Yangon ke Nay Pyi Taw dan perubahan Kerajaan Nepal kepada Republik Demokratik Persekutuan Nepal.
Timbalan jurucakap kerajaan, Ratchda Dhanadirek pada Rabu berkata, tiada apa-apa perubahan dalam penamaan ibu kota itu.
Nama Thai, Krung Thep Maha Nakhon, hanya akan digunakan sebagai nama dan urusan rasmi bandar raya itu, sementara nama Bangkok masih ditulis dalam kurungan sebagai rujukan.
Menerusi laman Facebook, ORST juga menyatakan bahawa kedua-dua nama itu iaitu Krung Thep Maha Nakhon dan Bangkok, boleh digunakan. Penjelasan itu dibuat susulan pengumuman mengenai pertukaran nama itu mendapat kritikan umum.
Bangkok telah digunakan secara rasmi sejak November 2001 di bawah pengumuman ORST. Ia datang dari kawasan lama Bangkok, yang kini merupakan sebahagian daripada kawasan metropolitan yang lebih besar di ibu negara, Bangkok Noi dan daerah Bangkok Yai. Berdasarkan sejarah, ia telah digunakan secara umum sejak sekian lama. – BANGKOK POST
