SEPANYOL dilaporkan mengesan kes pertama membabitkan varian baharu COVID-19, Omicron di negara itu daripada seorang lelaki yang baru tiba dari Afrika Selatan.
Kerajaan wilayah Madrid menerusi satu kenyataan, berkata, semalam lelaki yang berusia 51 tahun itu menjalani ujian saringan COVID-19 ketika tiba di lapangan terbang di Madrid melalui Amsterdam, sebelum disahkan positif.
“Pesakit berkenaan mengalami gejala ringan dan sedang menjalani kuarantin,” katanya.
Terdahulu, Hospital Gregorio Maranon di Madrid kelmarin memaklumkan melalui akaun Twitter rasmi, perkhidmatan mikrobiologi mereka berjaya mengesan kes pertama varian Omicron di Sepanyol, namun tidak memberikan butiran selanjutnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Omicron sebagai varian membimbangkan (VOC), manakala negara di serata dunia kini menyekat perjalanan dari selatan Afrika dan melaksanakan pelbagai langkah baharu untuk mengekang penularan virus babitkan varian berkenaan.
Beberapa negara Eropah yang lain, termasuk Belgium, Britain dan Jerman turut telah melaporkan kes Omicron yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan.
Sehingga kini, Sepanyol merekodkan hampir 88,000 kematian dan 5.1 juta keseluruhan jangkitan sejak dilanda pandemik COVID-19. – AGENSI
