ORANG ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan Penumbra yang dijangka berlaku pada minggu hadapan, 19 November 2021 sekitar jam 6.58 petang hingga 8.03 malam waktu tempatan.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu ciapan di laman Twitter rasmi Planetarium Negara yang menyifatkan peristiwa gerhana bulan Penumbra kali ini sebagai gerhana bulan terlama yang pernah terjadi di antara tahun 2001 dan 2100.
Fenomena gerhana bulan ini boleh dilihat dengan jelas tanpa binokular atau teleskop di beberapa kawasan di seluruh dunia namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar di Malaysia.
Gerhana bulan yang bakal berlaku pada Jumaat depan ini akan mengambil masa selama 3 jam, 28 minit dan 23 saat di mana bumi akan menghalang 97 peratus permukaan bulan daripada terkena cahaya matahari. Dalam tempoh ini, sebahagian permukaan bulan akan kelihatan seperti kemerah-merahan.
National Aeronautics and Space Administration atau Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menjangkakan sebanyak 179 fenomena gerhana akan terjadi dalam tempoh lapan dekad ini dan secara purata, gerhana mungkin terjadi dua kali dalam setahun. Peristiwa gerhana seterusnya dijangka akan berlaku pada 16 Mei tahun hadapan. – SHARE RANGERS
