PUTRAJAYA, 11 Nov – Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini mencadangkan agar sempadan negara dibuka kepada pelancong antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022.
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yaasin berkata, perkara tersebut telah dipersetujui menerusi mesyuarat MPN yang berlangsung hari ini.
“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai situasi sektor pelancongan negara yang menyaksikan pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa yang memasuki negara ini selain operator sektor ini yang memerlukan masa dan sumber untuk memulakan perniagaan mereka.
“Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan khususnya dalm sektor pelancongan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya.
Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling teruk terjejas ekoran pandemik COVID-19 dan memerlukan pemulihan segera ketika ini. Negara pula akan mengalami kerugian lebih RM90 bilion jika sektor itu terus ditutup.
Oleh itu, jelasnya, sempadan negara boleh dibuka dengan apa-apa kaedah atau langkah pematuhan tertentu yang difikirkan wajar dan perlu selain keutamaan yang boleh diberikan kepada negara yang telah mencapai kadar peratusan vaksinasi yang tinggi.
“Kita mempunyai tahap vaksinasi yang tinggi dan antara terbaik di dunia, mungkin dalam kalangan lima terbaik, jadi apa faedah yang sepatutnya kita raih ialah membenarkan pelancong masuk ke sempadan namun kita perlu sentiasa berjaga-jaga.
“Jawatankuasa COVID-19 mungkin sudah mengenal pasti mana negara dibenarkan masuk ke negara kita dan ia patut diumumkan,” ujarnya. – SHARE RANGERS
