SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun dari wilayah Jiangsu, China sanggup memasukkan jarum jahitan sepanjang 9 sentimeter (cm) ke dalam saluran kencing dan membiarkannya selama dua minggu kerana didorong oleh perasaan ‘ingin tahu’.
Selepas mengadu organnya itu terasa sakit dan air kencingnya berdarah, ibu bapa remaja berkenaan kemudian membawanya ke Hospital Kanak-kanak Universiti Perubatan di Nanjing, minggu lalu.
Selepas melakukan ujian imbasan sinar X, doktor kemudian menemui jarum tersebut di dalam saluran kencingnya. Remaja yang tidak disebutkan identitinya itu kemudian mengaku sengaja berbuat demikian kerana rasa ingin tahu.
Doktor kemudiannya mengeluarkan jarum tersebut melalui pembedahan yang memakan masa lebih satu jam.
“Remaja itu datang ke sini kerana tidak tahan sakit. Kami kemudian menemui jarum yang sangat panjang di dalam salur kencingnya,” kata doktor yang merawat remaja itu, Guo Yunfei, lapor SCMP.
Tidak mahu perkara sama berulang, doktor memberi amaran bahawa memasukkan objek ke dalam saluran kencing adalah satu tindakan berbahaya kerana objek asing boleh menyebabkan jangkitan dan pendarahan pada saluran kencing.
Walaubagaimanapun, Yunfei berkata, hal ini adalah perkara biasa di kalangan remaja yang bereksperimen terhadap badan mereka, terutamanya semasa tempoh perubahan fizikal.
“Kami menerima pesakit muda seperti itu setiap tahun dengan pelbagai jenis kes yang pelik. Yang paling banyak kami temui sebelum ini adalah kabel cas telefon dan kabel fon telinga, dan kami juga menghadapi kes jarum dan manik magnet,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa perlunya pendidikan seksual yang lengkap untuk kanak-kanak dan remaja di China. Ini kerana kajian menunjukkan bahawa golongan ini sering kekurangan pemahaman asas mengenai kesihatan reproduktif dan perkembangan fizikal ketika usia remaja. – SOUTH CHINA MORNING POST
