MELAKA, 22 Okt – Perubahan sikap dan layanan anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, beberapa hari sebelum meninggal dunia akibat lemas adalah kenangan yang tidak akan dilupakan anaknya, Nurul Ain Balqis.
Remaja berusia 16 tahun itu berkata, bapanya lebih banyak tersenyum dan meluangkan masa bersama dia dan tiga lagi adik-beradiknya iaitu Muhammad Daniel Hakime, 18, Muhammad Danish Hakim, 12, dan Nurul Annisa Ilya, 9, serta ibunya, Noraida Che Noh, 39.
“Abah seorang yang sangat komited dengan kerjanya dan sentiasa sibuk… selalunya balik daripada kerja abah akan tidur atau berehat kerana kerja tidak tentu masa.
“Tetapi beberapa hari lalu, abah lebih banyak luangkan masa dengan kami dan sentiasa tersenyum,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini hari ini.
Terdahulu, isteri kepada Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka, Datin Seri Munira M Yusop meluangkan masa melawat keluarga Allahyarham Mohd Diya dan menyerahkan sumbangan.
Nurul Ain Balqis yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim berkata, arwah bapanya itu kerap mengingatkannya belajar bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan pada pelajaran memandangkan dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira setahun lagi.
“Kami tidak sangka akan kehilangan abah begitu cepat namun kami bangga mempunyai abah yang berani dan dia meninggal dunia ketika sedang menyelamatkan orang lain,” katanya.
Mengimbas kembali mengenai kejadian menimpa bapanya itu, Nurul Ain Balqis berkata pada mulanya beliau mendapat tahu kemalangan menimpa bapanya melalui video yang tular menerusi media sosial kiriman rakannya.
“Apabila lihat video itu dan menunjukkan pada ibu, kami sangat berharap keadaan abah tidak serius dan hanya kemalangan kecil sebelum menerima panggilan daripada pihak bomba bahawa abah berada di Hospital Melaka sebelum bergegas ke hospital bersama semua ahli keluarga kira-kira jam 8 malam,” katanya.
Sementara itu, Noraida berkata, kematian Mohd Diya memberi kesan pada hidupnya dan anak-anak yang bergantung sepenuhnya kepada suami memandangkan beliau adalah suri rumah sepenuh masa.
“Namun, saya reda dengan ketentuan takdir dan mendoakan yang terbaik buat suami…terima kasih kepada semua pihak terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang prihatin tentang kami dan membantu dalam semua hal termasuk urusan pengebumian suami,” katanya.
Munira turut berharap Noraida dapat bersabar dan menerima ujian ini dengan hati terbuka serta meneruskan kehidupan mereka dengan baik.
“Kehilangan suami adalah sesuatu yang sangat besar…saya berharap Noraida menjadi seorang wanita kuat dan tabah demi anak-anak,” katanya.
Allahyarham Mohd Diya meninggal dunia pada jam 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka di sini semalam selepas rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras ketika operasi menyelamat di Sungai Putat, kira-kira 5.30 petang pada Rabu lepas. – BERNAMA
