Kategori
Berita

KKM Kesan 523 Daftar Masuk Premis Awam Babit Individu Positif COVID-19 Di Kedah

ALOR SETAR, 19 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 523 kali daftar masuk ke premis awam, termasuk pasar raya, membabitkan individu positif COVID-19 yang diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di Kedah, sepanjang minggu ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, 18 peratus daripada keseluruhan kes berkenaan yang dikesan melalui aplikasi MySejahtera melibatkan daftar masuk ke kawasan pasar raya.

Menurutnya, identiti kesemua mereka telah dikenal pasti dan tindakan lanjut akan diambil oleh Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Saya (sebenarnya) sudah maklumkan kepada MB (Menteri Besar Kedah), dalam tempoh seminggu ini sahaja, sebanyak 523 ‘check-in’ MySejahtera yang mana dalam kalangan orang positif (COVID-19), yang sepatutnya diperintah kuarantin di rumah, dan sebenarnya dia tidak boleh keluar, berstatus merah, sama ada positif atau high risk.

“(Jumlah itu membabitkan) 18 peratus yang ‘check in’ di pasar raya, jadi kita minta pemilik premis supaya buat pengawasan pintu masuk dengan ketat, (jika) individu positif dapat ‘check-in’ maksudnya pengawal keselamatan di situ tidak check betul-betul, dia lepaskan sahaja tak check betul-betul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di Wisma Darul Aman, hari ini.

Lantaran itu, Khairy meminta semua pemilik dan petugas di lokasi tumpuan agar sentiasa melakukan pengawasan ketat di pintu masuk premis masing-masing bagi menghalang individu bawah HSO daripada masuk.

“Nama individu bawah HSO tetapi keluar itu akan dihantar kepada Jabatan Kesihatan Kedah untuk tindakan lanjut kerana mereka sepatutnya tidak boleh keluar.

“Pada masa sama, saya berharap Kedah dapat meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini berikutan terdapat 17 peratus penduduk dewasa didapati belum menerima suntikan dos pertama, dengan perhatian ialah daerah Baling dan Pendang yang terkebelakang dalam vaksinasi,” katanya. – SHARE RANGERS

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen