ALOR SETAR, 19 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia memulakan pemberian suntikan dos ketiga atau dos penggalak (booster shot) vaksin COVID-19 kepada orang awam, bermula awal Oktober depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun, kumpulan rentan atau golongan berisiko yang dikenal pasti KKM akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.
“Antara mereka yang diberi keutamaan ialah warga emas yang mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan yang mempunyai penyakit berisiko tinggi, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah serta individu yang berada dan bekerja di pusat jagaan warga emas.
“Ini amat penting kerana berdasarkan data kematian dan data pesakit kategori lima yang masuk ke unit rawatan rapi (ICU), kebanyakan mereka terdiri daripada golongan terbabit, termasuk warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 bagi golongan rentan serta langkah itu akan dilaksana selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara mencapai 80 peratus.
Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan bersama kumpulan pakar bagi menentukan usia individu yang bakal menerima suntikan dos ketiga.
Menurutnya, pemberian dos ketiga itu tidak bermaksud hasil pemberian dua dos vaksin sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia bagi meningkatkan sistem imun individu.
Mengulas lanjut berkaitan jenis vaksin dos ketiga, belian berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin COVID-19 untuk didaftarkan di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Untuk dos ketiga, kita perlu dapatkan kebenaran NPRA sebab badan berkenaan hanya beri kebenaran untuk suntikan dua dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca.
“Semua pengeluar vaksin ini telah diminta hantar maklumat dos penggalak kepada NPRA.
“Saya jangka dalam tempoh seminggu dua boleh diluluskan. Selepas itu saya akan buat pengumuman jenis vaksin apa, boleh campur atau tidak. Bekalan vaksin pula saya yakin mencukupi,” katanya. – BERITA HARIAN
