Kategori
Luar Negara

Pelajar Ini Cacah Tatu Kod QR Sijil Vaksinasi COVID-19 Di Lengannya

SEORANG pelajar di Itali telah meraih perhatian netizen apabila dia mencacah tatu berbentuk kod QR sijil vaksinasi COVID-19 di bahagian lengannya. Andrea Colonnetta, 22, berkata, dia tidak berfikir panjang untuk membuat tatu tersebut memandangkan ia merupakan salah satu keperluan ketika ini.

“Ini pastinya sesuatu yang asli dan saya suka menjadi lain daripada yang lain.

“Lagipun, saya tidak perlu mengeluarkan telefon untuk menunjukkan bukti saya sudah divaksin. Saya hanya perlu menyelak lengan baju dan mengimbas kod QR berkenaan,” kata Colonnetta yang kepada akhbar Corriere della Calabria.

Andrea Colonnetta (gambar), seorang pelajar berusia 22 tahun di Itali telah menjadi sensasi di media sosial secara tidak sengaja setelah mencacah kod QR sijil vaksinasi COVID-19 di lengannya.

Penduduk di Itali yang sudah lengkap divaksinasi akan diberi pas hijau sebagai bukti dan boleh digunakan untuk memasuki pelbagai premis termasuk premis perniagaan serta kemudahan lain.

Penggunaan pas hijau itu telahpun berkuatkuasa di negara itu sejak 6 Ogos lalu. Antara tempat yang memerlukan pas tersebut termasuklah panggung wayang, muzium, ruang sukan tertutup dan juga restoran.

Sementara itu, Colonnetta memaklumkan, biarpun dia mendapat perhatian di media sosial, ibu bapanya menasihatkan supaya bersederhana dan sebolehnya menggunakan pas yang disediakan.

“Mereka mahu saya patuh undang-undang dan sudah tentu saya akan melakukannya. Tatu kod bar ini sebagai alternatif sekiranya saya tertinggal pas hijau atau telefon bimbit,” ujarnya.

Sebuah video yang dimuat naik di dalam aplikasi TikTok baru baru ini menunjukkan Colonneta mengimbas tatu kod QR di lengannya kepada pengawal keselamatan sebelum memasuki restoran makanan segera popular McDonald. – MAIL ONLINE

Amirul Fahmi's avatar

Oleh Amirul Fahmi

( Verified Author ☑ ) Amirul Fahmi merupakan seorang penulis blog yang memulakan kariernya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

One reply on “Pelajar Ini Cacah Tatu Kod QR Sijil Vaksinasi COVID-19 Di Lengannya”

Tinggalkan komen