Kategori
Berita

“Terima Kasih Semua” – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Sejurus selesai istiadat mengangkat sumpah di Istana Negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui status ringkas di laman Facebooknya, meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi sejurus selesai proses lantikan itu.

Bahkan, Ismail Sabri turut menjunjung kasih di atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-9.

Ismail Sabri dalam hantaran sama menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang memberikan sokongan dan kepercayaan terhadapnya.“Insya-Allah saya akan menjalankan tugas dan amanah ini untuk Malaysia,” katanya dalam hantaran tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri Selesai Angkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-9

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu atas kepercayaan yang diberikan kepadanya. Naib Presiden UMNO itu juga memaklumkan yang beliau akan membuat kenyataan rasmi susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri khusus buat semua lapisan masyarakat di negara ini, esok.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di luar perkarangan kediamannya selepas selesai menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, media dilaporkan, Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang tadi, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – SHARE RANGERS

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen