MANTAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediamannya di Bukit Damansara, dan turut berkongsi gambar kunjungan tersebut di laman Facebooknya.
Melalui pertemuan itu, Muhyiddin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-9 dan mendoakan penggantinya itu, dapat menggalas amanah kepemimpinan dengan sebaik mungkin dan mengemudi negara ke mercu kejayaan.
Ujar Muhyiddin, beliau akan memberi sokongan penuh kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan terus akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkhidmat kepada rakyat.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya Allah akan terus membantu kerajaan PN menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara,” katanya melalui satu status ringkas di laman Facebooknya, hari ini.
Hari ini, Ismail Sabri telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang tadi, hari ini. Pelantikan Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri itu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat iaitu sebanyak 114 Ahli Parlimen melalui surat akuan bersumpah (SD) – SHARE RANGERS
